Cara Menggunakan Pelindung Matahari

Cara Menggunakan Pelindung Matahari

Assalamualaikum, hai semua!

Biasa guna sunscreen? Selalunya ramai yang tidak selalu menggunakan sunscreen atau pelindung matahari ini dalam kehidupan seharian. Sama ada bekerja di luar atau di dalam pejabat, pelindung matahari penting untuk melindungi kulit kita daripada sinaran ultraungu (UV). Ya, dalam pejabat pun perlu pakai (saya pun malas pakai :P). Lagi-lagi bagi mereka yang bekerja berdekatan dengan tingkap.

Ada yang jarang menggunakan sunscreen kerana teksturnya yang agak pekat dan menyebabkan rasa tidak selesa. Produk pelindung matahari masa kini sudah ada dalam pelbagai bentuk seperti krim, gel atau serbuk dengan formulasi yang mudah menyerap tetapi perlulah kena dengan cara penggunaannya. Ada beberapa faktor dan asbab yang boleh menyebabkan kesan perlindungan matahari daripada sunscreen yang kita gunakan menjadi kurang efektif.

Sun Protection Factor (SPF)

Nombor SPF yang biasa kita lihat pada produk pelindung matahari ini secara mudahnya, menunjukkan berapa lama kulit kita dapat bertahan bawah cahaya matahari sebelum terbakar atau kena sunburn. 

Sebagai contoh, sunscreen yang kita gunakan adalah SPF 30. Jika kulit kita dapat bertahan selama 10 minit tanpa apa-apa pelindung, maka dengan sunscreen tadi, kulit kita dapat bertahan 30 kali lebih lama bawah matahari (300 minit).

Cukupkah sunscreen yang kita gunakan ni?

Kuantiti yang disarankan untuk menggunakan sunscreen ialah 2mg untuk setiap cm2 permukaan kulit. Hal ini kerana kuantiti inilah yang digunakan dalam kajian dan menunjukkan hasil keberkesanan yang konsisten. Cancer Council Australia meletakkan anggaran jumlah satu sudu teh pelindung matahari untuk permukaan kulit muka dan leher. Bahagian telinga juga tidak terkecuali. Selagi kulit kita terdedah, selagi itu kulit kita terdedah dengan sinar UV. Bagi mereka yang bertudung, jumlah sunscreen yang perlu digunakan mungkin kurang daripada satu sudu teh dengan syarat kain tidak jarang

Kebanyakan pengguna tidak akan guna sunscreen sebanyak ituMuka akan nampak terlalu berkilatSatu kajian mendapati sunscreen SPF yang lebih tinggi (70 ke atas) dapat mengimbangi kesan SPF dengan kuantiti yang biasa kita gunakan. Namun, kita lebih digalakkan untuk menggunakan sunscreen dengan "murah hati" untuk memastikan kulit kita mendapat perlindungan semaksimumnya daripada sunscreen yang digunakan. 

Water-resistant sunscreen

Sunscreen jenis kalis air atau water-resistant dapat mengekalkan nilai SPF yang tertera pada produk selama 40 minit di dalam air. Contohnya, sunscreen SPF 50 yang water-resistant nilai SPFnya kekal 50 selepas 40 minit direndam dalam air. Nilai SPFnya berkurang selepasnya. Untuk sesiapa yang gemar berenang, amat penting untuk memakai semula sunscreen selepas aktiviti ini atau apa-apa aktiviti lasak. Sunscreen kita juga boleh hilang semasa berpeluh atau mengelap muka. 

Penapis UV yang kurang stabil bawah cahaya matahari 

Ada banyak bahan kimia yang tidak tahan dan boleh rosak bawah cahaya matahari. Salah satu ciri sunscreen yang ideal adalah sunscreen yang photostable (tidak berubah sifat bawah sinaran matahari). Avobenzone, sejenis penapis UVA, boleh berubah strukturnya bawah sinar UV atau kurang photostable

Jadi, pakar sains ada yang mengkaji formulasi bahan yang dapat meningkatkan photostability dalam sunscreen. Dalam satu kajian, didapati octocrylene dapat meningkatkan photostability penapis UV avobenzone, octinoxate dan oxybenzone.

Jangan hanya bergantung pada sunscreen sahaja

Sunscreen ini bukan satu-satunya cara untuk kita melindungi diri kita daripada sinar UV. Baju lengan panjang yang tidak jarang, cermin mata hitam dan topi dapat memberi perlindungan ekstra. Sepatutnya sunscreen adalah benteng pertahanan yang terakhir untuk perlindungan daripada cahaya matahari.



Sumber:

https://www.karger.com/Article/PDF/96173 

https://onlinelibrary.wiley.com/doi/full/10.1111/phpp.12099 

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/16289662 

https://phcogj.com/sites/default/files/10.5530pj.2016.3.1.pdf 

https://www.cancer.org.au/preventing-cancer/sun-protection/sunscreen-faqs.html 

http://www.scielo.org.co/scielo.php?script=sci_arttext&pid=S0121-40042011000100009