Brightening, Lightening & Whitening (-tening, -tening, -tening aku pun pening)

Brightening, Lightening & Whitening (-tening, -tening, -tening aku pun pening)

KULIT ANDA HITAM?! KUSAM?! SUAMI/BF ANDA TAK NAK PANDANG?!

NAK KULIT PUTIH DALAM MASA SINGKAT?!

TAK CUKUP BERSYUKUR DENGAN KULIT ANDA?????!!!!!!!!

Ayat muqaddimah di atas mungkin anda pernah jumpa di iklan-iklan laman sosial lagi-lagi yang berkenaan dengan produk pemutih wajah (oklah, mungkin bukan ayat ketiga tu). Cukup-cukuplah dengan tekanan sosial daripada persekitaran yang memaksa kita untuk sentiasa tampak putih melepak 30 jam sehari, 9 hari seminggu, 50 hari sebulan.

Tiga istilah yang saya nyatakan dalam tajuk di atas seringkali dianggap sebagai satu perkara yang sama. Kalau ikutkan daripada artikel-artikel di internet, kebanyakannya mengatakan bahawa ketiga-tiga istilah ini berbeza antara satu sama lain. 

Brightening

Istilah ini daripada carian saya tidaklah betul-betul bermaksud menjadikan tona kulit lebih cerah tetapi lebih merujuk pada menjadikan kulit nampak lebih sihat dan segar ataupun radiant. Jenis bahan yang biasa digunakan dalam krim-krim brightening ialah exfoliant. Tugas exfoliant inilah yang membuang lapisan kulit mati dan meninggalkan lapisan kulit yang lebih bersih. Klik di sini untuk lihat artikel tentang exfoliant sebelum ini. 

Ascorbic acid (Vitamin C) juga dapat memberikan kesan brightening pada kulit. Selain berfungsi sebagai antioxidant, bahan ini meningkatkan penghasilan protein struktur kolagen dalam kulit lalu memulihkan kulit yang mengalami photodamage (Kerosakan kulit daripada sinar UV).

Lightening

Lightening, lazimnya, memberi maksud menjadikan tona kulit gelap lebih cerah dengan menghalang penghasilan melanin (bahan semula jadi yang memberikan warna kulit) dalam kulit. Bahan paling popular digunakan untuk tujuan ini ialah hydroquinone.  Hydroquinone ini boleh dihasilkan secara sintetik atau wujud sebagai molekul bebas dalam tumbuhan seperti bearberry. Alternatif lain yang lebih semula jadi antaranya:

  • Niacinamide - menghalang melanosome daripada membawa melanin ke lapisan atas kulit
  • Arbutin - sejenis derivatif hydroquinone diekstrak daripada tumbuh-tumbuhan
  • Soya - bertindak sama seperti niacinamide menghalang melanosome daripada membawa melanin ke lapisan kulit.

Whitening

Merujuk kepada kombinasi kedua-dua fungsi brightening dan lightening atau penggunaan bahan kimia yang memberikan kesan pemutihan pada kulit yang lebih drastik. Sesetengah produk whitening mengandungi agen peluntur (bleaching agent) yang agak kuat. Hasil daripada produk whitening adalah tona kulit menjadi lebih cerah daripada tona kulit yang normal. Hydroquinone dan monobenzone adalah contoh depigmenting agent (bahan yang dapat mengurangkan pigmentasi kulit) yang biasa digunakan dalam produk whitening. 

Perkataan "whitening" ini menjadi strategi marketing bagi sesetengah pengeluar bagi melariskan produk. Tampal sahaja label yang ada "whitening" pada produk, dengan izinNya, kita sebagai pengguna terdesak yang mahukan kulit cerah akan terus membeli tanpa usul periksa. 


Yang paling penting sekali, sebelum menggunakan produk-produk sebegini, semak dahulu kandungan bahan dan perlu berhati-hati menggunakannya. Seelok-eloknya buat kajian sendiri dahulu tentang bahan yang ada dalam produk dan baca pengalaman pengguna lain yang pernah menggunakannya jika ada. Kalau anda tidak kisah tentang konsep pemutihan kulit ini, fokus pada kebersihan dan penjagaan kulit yang sihat dan berbanggalah dengan warna kulit semula jadi anda!



Sumber:

https://www.aad.org/media/news-releases/dermatologist-shines-light-on-natural-ingredients-used-in-new-topical-treatments-for-hyperpigmentation 

http://skinlighteningbeautyguide.com/skin-brightening-vs-skin-lightening-vs-skin-whitening/ 

https://www.aocd.org/page/Hydroquinone 

https://lpi.oregonstate.edu/mic/health-disease/skin-health/vitamin-C